Pakar China cadang turut guna ubat tradisional rawat COVID-19

Pakar perubatan COVID-19 dari China mencadangkan untuk turut menggunakan ubat tradisional Cina sebagai sebahagian rawatan pesakit COVID-19.
0
127

Kota Kinabalu: Pakar perubatan COVID-19 dari China mencadangkan untuk turut menggunakan ubat tradisional Cina sebagai sebahagian rawatan pesakit COVID-19.

Timbalan Menteri Kesihatan II Sabah, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata pakar perubatan China memaklumkan mereka mengambil pendekatan rawatan dengan menggabungkan ubat tradisional Cina serta ubat dari Barat untuk pesakit di negara itu.

“Pesakit yang dirawat dengan gabungan ubat tradisional Cina serta ubat moden cepat sembuh. Bagaimanapun, kita mengharapkan penemuan vaksin COVID-19 kerana objektif utama kita adalah untuk memperoleh vaksin.

“Selain itu, China juga telah memaklumkan mereka melakukan ujian vaksin ke atas manusia dan bukannya haiwan,” katanya selepas rogram Penyampaian Sumbangan Bencana COVID-19 Kepada Kerajaan Sabah di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Terdahulu, delegasi China bersama Konsul Jeneral Republik Rakyat China di Kota Kinabalu, Liang Caide mengadakan kunjungan hormat kepada Mohd Shafie.

Aaron Ago berkata, dalam kunjungan hormat itu, mereka berkongsi pengalaman mengenai cara mengendalikan pesakit COVID-19, situasi di Wuhan dan perintah berkurung di sana.

“Mereka juga turut memuji cara kita mengendalikan COVID-19 di Malaysia dan apa yang kita laksanakan lebih kurang sama dengan apa yang mereka lakukan di China,” katanya.

Comments are closed.