PATI disyaki ahli kongsi gelap ditahan

Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki ahli kongsi gelap ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Perairan Giong, di sini semalam.
0
233

LAHAD DATU: Seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) disyaki ahli kongsi gelap ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di Perairan Giong, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.50 petang itu, lelaki berysia 25 tahun berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika ditahan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata anggota terserempak sebuah bot pam dalam keadaan mencurigakan ketika melakukan rondaan rutin di Perairan Silam, di sini.

Katanya, sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot pam terbabit didapati cuba menukar haluan ke arah Perairan Giong dalam usaha meloloskan diri sebelum berjaya dipintas anggota PPM.

“Sebaik ditahan, lelaki yang berada dalam bot pam berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri. Hasil pemeriksaan lanjut mendapati lelaki itu memiliki buku, kad dan dokumen keahlian pertubuhan serta mengaku ia adalah miliknya.

“Siasatan lanjut terhadap badan lelaki itu turut menemui tanda pada lengannya dipercayai sebagai tanda pengenalan keahlian pertubuhan salah satu pertubuhan kongsi gelap di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, susulan penemuan itu, bot pam dan enjin dirampas dan lelaki terbabit turut dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

”Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 56 Akta Pertubuhan 1966,” katanya.

Leave a reply