Pekerja boleh dipecat jika langgar SOP,terperangkap di kampung

Pekerja swasta yang terperangkap di kampung kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat selama lebih dua hari berturut-turut.
0
85

KUALA LUMPUR: Pekerja swasta yang terperangkap di kampung kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), boleh dibuang kerja jika tidak kembali bertugas ke pejabat selama lebih dua hari berturut-turut.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata tindakan itu boleh dilakukan selaras peruntukan mengikut Seksyen 15(2) Akta Kerja 1955.

Seksyen itu memperuntukkan seseorang pekerja dianggap melanggar kontrak perkhidmatannya jika tidak hadir bekerja selama lebih dua hari berturut-turut tanpa pemakluman awal kepada majikan.

“Kalau pekerja tak dapat cuti daripada majikan dan terperangkap di kampung kerana melanggar PKPB, ia bermakna mereka tidak patuh arahan kerajaan.

“Jika ini menyebabkan ketidakhadiran ke tempat kerja selama dua hari berturut-turut, majikan boleh menamatkan perkhidmatan mereka berdasarkan ketidakpatuhan kontrak perkhidmatan,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri hari ini memaklumkan sebanyak 14 kompaun dikeluarkan polis semalam, terhadap individu yang melanggar PKPB dan pulang ke kampung untuk berhari raya tanpa kebenaran.

Sebelum ini, kerajaan memberi amaran bahawa individu yang berjaya lolos dari sekatan jalan raya untuk pulang ke kampung bagi meraikan Aidilfitri, tidak akan terlepas dan polis akan mengesan mereka di rumah.

Walaupun mengakui tindakan buang kerja itu tertakluk pada budi bicara majikan, Shamsuddin menegaskan pekerja yang melanggar PKPB untuk pulang ke kampung, mengambil risiko tinggi atas kemahuan sendiri.

Jelasnya, umum mengetahui kerajaan memantau ketat pergerakan rakyat yang merentas negeri dan pekerja perlu menanggung risiko itu jika mereka terperangkap kerana melanggar peraturan kerajaan.

“Kita juga ada terima laporan daripada pihak majikan bahawa ada pekerja asing mereka ditangkap kerana cuba rentas negeri dan sekarang ditahan di lokap dan sebagainya.

“Sudah tentu ini juga akan membolehkan majikan menamatkan perkhidmatan mereka. Kita maklum ada pekerja asing buat salah laku ini dan segelintir pekerja tempatan juga dijangka melakukan perkara sama,” katanya.

Ditanya sama ada majikan akan merayu kepada kerajaan untuk membenarkan pekerja yang terperangkap kembali bekerja, Shamsuddin menegaskan pihak pekerja perlu melakukannya sendiri.

“Ini adalah isu kesihatan, jadi lebih baik jika urusan pekerja (untuk merayu kembali ke bandar) tidak membabitkan majikan,” katanya.

Comments are closed.