Peluang BN menang percuma di PRK DUN Chini

Keputusan PKR tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chini membuka peluang calon UMNO-BN menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil itu bulan depan.
0
47

KUANTAN: Keputusan PKR tidak meletakkan calon pada PRK DUN Chini membuka peluang calon UMNO-BN menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil itu bulan depan.

Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika ia berlaku, PRK DUN Chini khususnya dalam tempoh berkempen selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 20 Jun ini sehingga hari pengundian 4 Julai depan, tidak perlu diadakan.

Menurutnya, Pakatan Harapan (PH) dan calon Bebas perlu memberi laluan kepada calon UMNO-BN untuk menang tanpa bertanding pada pilihan raya kecil itu

“Saranan ini selari dengan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat sekarang bukan masa sesuai mengadakan pilihan raya di negara ini berikutan keadaan tidak mengizinkan dan tumpuan seharusnya diberi kepada usaha mengekang penularan wabak pandemik ini,” katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.

Wan Rosdy berkata, Dr Mahathir sebelum ini dilaporkan berkata, walaupun sesetengah berpandangan wajar pilihan raya diadakan sekarang namun beliau berpandangan sekarang negara tidak bersedia untuk menghadapi pilihan raya.

“Katanya, jika pilihan raya diadakan, proses pilihan raya termasuk berkempen, berkumpul dan aktiviti biasa semasa pilihan raya tidak dapat dilakukan.

“Beliau (Tun Dr Mahathir) mungkin lebih menjurus kepada PRU tetapi seharusnya meliputi PRK Chini ini kerana kedua-duanya turut melibatkan pergerakan orang ramai, yang boleh mengancam kesihatan awam menerusi jangkitan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang menambah, saranan agar BN diberi laluan menang tanpa bertanding itu juga selari dengan kenyataan media Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hari ini yang mengumumkan parti tersebut tidak akan meletakkan calonnya bertanding pada PRK Chini atas alasan serupa.

Comments are closed.