PEMBANGKANG SABAH AKAN BERTEMU ANIFAH-PRK KIMANIS

Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan parti pembangkang Sabah, tidak termasuk Umno bakal bertemu dengan Datuk Seri Anifah Aman secepat mungkin untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.
0
213

PENAMPANG: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Datuk Dr Jeffrey Kitingan menyatakan parti pembangkang Sabah, tidak termasuk Umno bakal bertemu dengan Datuk Seri Anifah Aman secepat mungkin untuk membincangkan mengenai pilihan raya kecil (PRK) Kimanis.

Jeffrey berkata beliau meramalkan PRK Kimanis mungkin menjadi pertarungan tiga penjuru dengan Umno dan Parti Warisan Sabah dijangka meletakkan calon masing-masing.

Suruhanjaya Pilihanraya mengumumkan 4 Januari sebagai hari penamaan calon PRK Kimanis manakala hari mengundi pada 18 Januari.

“Kami akan mengadakan perbincangan dengan (bekas Ahli Parlimen Kimanis) Anifah dan semua parti lain termasuklah Parti Progresif Sabah (SAPP) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

“Kita perlu memasukkan semua orang (pembangkang) supaya kita membuat keputusan.

“Tetapi bagi Umno, mereka akan memutuskan sendiri.

“Jadi, kita perlu membuat keputusan pada hari esok atau secepat mungkin,” katanya yang juga Timbalan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA).

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penutup Festival Makanan Sabah 2019, dekat sini, hari ini.

Acara disempurnakan oleh Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Dalam pada itu, Jeffrey bagaimanapun tidak mendedahkan berapa banyak parti pembangkang yang sebenar bersamanya.

Leave a reply