Pemilihan Bersatu: Muhyiddin dicabar Mukhriz

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berhadapan pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada Jun depan.
0
246

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin akan berhadapan pertandingan tiga penjuru bagi mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung pada Jun depan.

Selain Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Muhyiddin yang juga Perdana Menteri, akan dicabar oleh Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Cheras, Mohd Faiz Azlee Sham, yang menghantar borang pencalonannya di ibu pejabat parti, pada Isnin.

Bagi jawatan Pengerusi Bersatu pula, Tun Dr Mahathir Mohamad, secara tidak rasmi menang tanpa bertanding apabila tiada sesiapa menghantar borang bagi mencabarnya selepas tempoh pencalonan ditutup jam 3 petang tadi.

Sementara itu, penyandang Ketua Armada, Syed Saddiq Abdul Rahman pula akan dicabar penyandang exconya, Muzzammil Ismail serta Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal.

Bagi jawatan Ketua Srikandi, Menteri Wanita dan Keluarga, Datuk Seri Rina Mohd Harun akan dicabar tiga calon iaitu Azlina Mehtab Mohd Ishaq, Zuhuraina Makmur dan Datin Iza Ismail.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata tarikh pemilihan yang sebelum ini dijadualkan bermula pada 18 April, ditangguhkan kepada Jun atas arahan Pendaftar Pertubuhan (ROS) susulan perkembangan situasi wabak COVID-19.

“Kita akan tengok dahulu keadaan bagaimana (keadaannya) sebelum tentukan tarikhnya (pemilihan). Saya tak mahu bagi apa-apa jangkaan sebab wabak ini satu pandemik, apa sahaja boleh jadi.

“Kementerian Kesihatan akan beri nasihat, begitu juga ROS yang akan keluarkan arahan mengikut nasihat daripada KKM. Jadi kita tunggu dan ikut arahan yang dikeluarkan,” katanya.

Biarpun jangka masa berkempen menjadi lebih lama bagi calon, Syed Hamid meminta mereka supaya sentiasa peka dengan arahan dan nasihat pihak berwajib seperti ROS dan Kementerian Kesihatan untuk mengelakkan sebarang masalah.

Comments are closed.