Pertubuhan Agaras lapor polis rakaman audio hina KDMR

Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (Agaras) mendesak pihak berkuasa menyiasat sebuah rakaman audio yang tular di media sosial dan didakwa menghina kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus.
0
25

KOTA MARUDU: Pertubuhan Angkatan Gabungan Rakyat Sabah (Agaras) mendesak pihak berkuasa menyiasat sebuah rakaman audio yang tular di media sosial dan didakwa menghina kaum Kadazan Dusun Murut dan Rungus.

Presidennya, Michael Frederick berkata, rakaman audio didakwa milik seorang lelaki berbangsa asing di Kota Marudu itu dikatakan mengancam kaum pribumi Sabah itu dan menghina masyarakatnya.

“Saya buat laporan ini untuk tindakan pihak polis kerana membuat ancaman kepada orang Dusun dan perbuatannya ini juga boleh mendatangkan pecah-belah kaum dalam kalangan masyarakat Pakistan dan warga tempatan Kota Marudu.

“Saya selaku Presiden Agaras akan merujuk laporan ini kepada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya di dalam laporan polis itu.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Michael berkata, lelaki itu perlu dibawa ke muka pengadilan kerana bukan sahaja menghina, malah turut menggunakan kata-kata kesat termasuk berbaur lucah.

Tegas beliau, perbuatan menghina kaum lain tidak boleh dibiarkan kerana boleh menimbulkan kemarahan orang ramai sehingga mungkin mencetuskan pergaduhan.

“Walaupun kami ini masyarakat Dusun, KDM yang boleh dikatakan miskin di negeri Sabah tetapi kami juga mempunyai hati, kami juga orang Sabah, kita juga warganegara yang patut dilihat bukan dihina, kita bukan pakai duit mereka.

“Kami juga selaku KDMR ada harga diri, sejak kebelakangan ini, ramai pihak dan individu sengaja memainkan Isu penghinaan agama, bangsa dan kaum, contoh kes-kes seperti hina agama Kristian, hina bangsa KDMR sebagai kelas kedua,” katanya.

Tambahnya, kes itu seeloknya disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu perkataan atau kelakuan sopan, Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu menakutkan secara jenayah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Hasutan, iaitu kecenderungan menghasut.

Comments are closed.