Peruntukan RM452.8 juta bantu usahawan

Sebanyak RM452.8 juta diperuntukkan bagi membantu 21,847 usahawan melalui Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi.
0
87

Sebanyak RM452.8 juta diperuntukkan bagi membantu 21,847 usahawan melalui Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementeriannya membentangkan Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, 6 Mei lalu.

Menurutnya, pelan pemulihan itu menggariskan enam strategi utama bagi menyokong kestabilan ekosistem keusahawanan, memulihkan operasi perniagaan usahawan dalam tempoh segera dan memastikan usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

“Ia mengandungi 30 program yang akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu jangka masa pendek bermula Mei hingga Disember 2020 dan jangka masa sederhana bermula Januari 2021 hingga Mei 2021.

“Sehubungan itu, dianggarkan sejumlah RM452.8 juta peruntukan memberi manfaat kepada lebih 21,847 penerima merangkumi usahawan mikro, perusahaan kecil sederhana, usahawan sosial, startup dan koperasi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Wan Junaidi berkata, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Kewangan dalam pembangunan Pelan Pemulihan Ekonomi Pasca Covid-19.

“MEDAC adalah ahli dalam Kumpulan Kerja Sokongan Pemulihan PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) dengan tumpuan kepada strategi serta inisiatif jangka pendek dan sederhana bagi memulihkan usahawan yang terjejas dan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara.

“Pada 8 Mei lalu MEDAC juga mengemukakan cadangan program keusahawanan Pelan Restart dengan jumlah peruntukan sebanyak RM261.21 juta,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif yang sedang dan bakal dilaksanakan itu sejajar dengan dasar kerajaan bagi memastikan rakyat khususnya golongan usahawan sentiasa mendapat sokongan daripada MEDAC supaya urusan perniagaan mereka dapat beroperasi seperti biasa ketika penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di seluruh negara.

Comments are closed.