Peter Mengaku Tidak Bersalah Terbabit Transaksi Haram RM8.75 Juta

Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah transaksi bernilai RM8.75 juta yang didakwa dilakukan antara Julai 2014 hingga Januari 2016.
0
35

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah transaksi bernilai RM8.75 juta yang didakwa dilakukan antara Julai 2014 hingga Januari 2016.

Peter, 49, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat selepas pertuduhan terhadapnya yang dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibacakan.

Bagi pertuduhan pertama, pada 25 Julai 2014, Peter didakwa terlibat dalam transaksi haram membabitkan nilai RM1.75 juta di Maybank Jalan Perpaduan, Kampung Air, Kota Kinabalu.

Menurut pertuduhan kedua pula, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) melalap didakwa melakukan aktiviti haram dengan menerima wang sebanyak RM2 juta di lokasi yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan tersebut, beliau didakwa di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang memperuntukkan hukuman denda RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, pada 5 September 2014, Peter didakwa menerima wang haram membabitkan nilai RM500,000 juga di lokasi sama.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, beliau turut didakwa menerima wang masing-masing bernilai RM400,000 dan RM4.1 juta di bank yang sama.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut dibuat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali jumlah nilai aktiviti haram atau lima juta ringgit mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, Peter diwakili barisan peguam Luke Ressa Balang, Martin Tommy, Cedric Choo dan Datuk Douglas Lind.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd. Akram Garib dan Mohd. Faliq Basiruddin.

Dalam prosiding itu, SPRM meminta mahkamah meletakkan nilai ikat jamin sebanyak RM1 juta berserta dua penjamin terhadap Peter untuk dibebaskan.

SPRM turut meminta mahkamah menyimpan pasport antarabangsa beliau dan mengarahkan Peter melapor diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.

Selepas mendengar hujah pihak pembelaan, Abu Bakar kemudiannya menetapkan nilai jaminan sebanyak RM500,000 ke atas Peter berserta dua penjamin manakala pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah dan beliau perlu melapor diri di pejabat SPRM sekali dalam setiap dua bulan.

Abu Bakar bagaimanapun berkata, Peter boleh membuat permohonan untuk mendapatkan pasport tersebut jika ada keperluan penting.

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada pukul 10 pagi, 8 Ogos depan.

Comments are closed.