Petronas belum lagi bayar cukai jualan

Syarikat Petroleum Nasional Berhad (Petronas) belum membuat sebarang pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum kepada kerajaan negeri Sarawak, sebaliknya telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.
0
46

KUCHING:  Syarikat Petroleum Nasional Berhad (Petronas) belum membuat sebarang pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum kepada kerajaan negeri Sarawak, sebaliknya telah mengemukakan rayuan di Mahkamah Rayuan.

Perkara ini disahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perunding Perjanjian Malaysia 1963 Sarawak Datuk Amar Mohd Asfia Awang Nassar kepada pemberita selepas mesyuarat jawatankuasa itu, di sini pada Rabu.

Sehubungan itu, Mohd Asfia berkata sebuah jawatankuasa perunding sudah ditubuhkan untuk berunding dengan Petronas mengenai pembayaran cukai berkenaan.

Mesyuarat semalam bersetuju melantik lima ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak dalam jawatankuasa rundingan tersebut iaitu Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, Datuk Gerawat Gala, Datuk Idris Buang, Datuk Sebastian Ting dan See Chee How, katanya.

“Jika tiada keputusan dicapai melalui rundingan, kerajaan negeri Sarawak akan meneruskan kes sivilnya terhadap Petronas,” kata Mohd Asfia yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Sarawak menuntut cukai jualan petroleum bagi 2018 berjumlah RM2.878 bilion dan Asfia menambah bahawa kerajaan negeri tidak akan melayan sebarang pemotongan atau pengurangan jumlah cukai berkenaan.

“Kedudukan kita ke atas cukai petroleum adalah jelas. Kita menang di Mahkamah Tinggi, hakim berpihak kepada Sarawak mengikut Artikel 95(B) (C) di mana Sarawak boleh mengenakan cukai jualan, kuasa yang diberi kepada Sarawak oleh Inter-Government Committee pada 1963,” tambah beliau.

Mahkamah Tinggi pada 13 Mac lalu membuat keputusan bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengenakan cukai jualan ke atas produk petroleumnya.

Semasa membuat keputusan itu, Hakim Azahahari Kamal Ramli menolak pemohonan Petronas untuk memfailkan semakan kehakiman bagi mengisytiharkan cukai jualan Sarawak tidak sah dan terbatal.

Sarawak mengenakan cukai jualan lima peratus ke atas produk petroleum pada 1 Jan tahun lepas di bawah Ordinan Cukai Jualan 1998 negeri.

Comments are closed.