PH tidak terikat dengan Bersatu, Anwar

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenyataan bersama beliau dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional dibuat atas dasar kerjasama di antara parti pembangkang.
0
76

Shah Alam: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kenyataan bersama beliau dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang tidak mengiktiraf kerajaan Perikatan Nasional dibuat atas dasar kerjasama di antara parti pembangkang.

Anwar yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, kenyataan bersama itu tidak bermaksud PH terikat dengan kerjasama seperti sebelum ini kerana Bersatu telah keluar daripada gabungan tersebut, sebaliknya mengajak masyarakat memahami pendirian pembangkang secara keseluruhan.

“Maka sebab itulah saya memilih untuk membuat kenyataan bersama tetapi ini telah mengundang teguran yang agak keras, saya terima baik.

“Umpamanya P Gunasegaran, seorang penulis yang agak terkenal dan kritikal kerana beliau bimbang bahawa saya telah nampak luntur semangat, idealisme dan agenda ‘reform’ kerana masih terus bersekongkol dengan keadaan dan sikap yang lama,” katanya menerusi siaran langsung di Facebook pagi tadi bagi mengulas teguran ramai berhubung kenyataan bersama beliau dengan Dr Mahathir pada Sabtu lepas.

Dalam kenyataan bersama itu, kedua-dua pemimpin terbabit bersepakat untuk berusaha bangkit semula dalam mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya dengan tidak mengiktiraf kerajaan hari ini.

“Pada 2013, undi popular kita 52 peratus. Pada ketika itu kelompok Bersatu ini bersama Barisan Nasional (BN).

“Maknanya kita ada kekuatan asas. Syukur alhamdulillah kerana ada dukungan tambahan, akhirnya kita menubuhkan Pakatan Harapan,” katanya.

Anwar berkata, PH belajar daripada pengalaman lampau apabila beberapa keputusan pakatan itu sebelum ini tidak dirundingkan selain ketepikan beliau sama sekali.

“Kembali kepada idealisme perjuangan. Ujiannya bila kita ada kuasa.

“Sekarang ini ialah tahap PH memimpin perubahan dalam pembangkang dan bekerjasama dengan yang lain tetapi pimpinannya itu ialah pimpinan Pakatan Harapan,” katanya.

Comments are closed.