PH ‘tumbang’ di Kedah, akan ada Menteri Besar Baharu ganti Mukhriz

Perikatan Nasional (PN) Kedah kini mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR isytihar keluar parti hari ini.
0
130

Sungai Petani: Perikatan Nasional (PN) Kedah kini mempunyai majoriti mudah bagi membentuk kerajaan negeri baharu apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR isytihar keluar parti hari ini.

Kedua-dua ADUN PKR terbabit, iaitu Azman Nasrudin (Lunas) dan Dr Robert Ling Kui Ee (Sidam) masing-masing mengisytihar menjadi wakil rakyat bebas yang menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dengan perkembangan baharu ini, PN Kedah kini memiliki 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah sekali gus membentuk majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Azman pada sidang media bersama Dr Robert, memaklumkan mereka hilang kepercayaan kepada kepemimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyebabkan parti itu kini berpecah belah.

Katanya, PKR yang sebelum ini memperjuangkan keadilan bagi rakyat kini bertukar menjadi parti yang hanya memperjuangkan Anwar menjadi Perdana Menteri dan keluarganya sahaja.

“Selepas melihat pelbagai kepincangan, kami mengambil keputusan keluar parti dan bukan lagi menjadi ADUN mewakili PKR dan kini menjadi ADUN Bebas mesra kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Kami juga menyokong penuh Perdana Menteri bagi memimpin negara dan memberi kepercayaan kepada PN di Pusat dan negeri bagi menjaga rakyat,” katanya pada sidang media di Pusat Khidmat DUN Sidam di sini, hari ini.

Azman berkata, beliau dan Dr Robert juga tidak menolak kemungkinan menyertai mana-mana parti baharu termasuk BERSATU pada masa hadapan.

“Keputusan kami ini sudah dibincangkan bersama Muhyiddin dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kami perlu bergerak ke hadapan supaya pentadbiran negeri berjalan lancar.

“Petang ini kami akan menyatakan sokongan terbuka kepada PN di Kedah bagi membolehkan kerajaan negeri baharu ditubuhkan dalam tempoh terdekat,” katanya.

Ditanya kemungkinan ada lagi ADUN PKR meninggalkan parti itu, beliau memaklumkan setakat ini hanya mereka berdua berbuat demikian, namun terdapat ramai ahli dijangka meninggalkan PKR tidak lama lagi.

Petang ini, PN Kedah dijadual mengadakan sidang media di Kompleks PAS negeri bagi mengumumkan pembentukan kerajaan negeri baharu.

Ketika ini, komposisi DUN Kedah menyaksikan PAS menguasai 15 kerusi, PKR (lima), BERSATU (enam), Parti Amanah Negara (empat) dan masing-masing dua bagi DAP, UMNO dan BEBAS.

Comments are closed.