Pil gugur janin dilarang jual, boleh bawa maut

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengambilan pil gugur janin tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman, selain boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.
0
183

Penjualan pil gugur janin melanggar undang-undang manakala penggunaannya boleh membawa maut.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pengambilan pil gugur janin tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar boleh memberi implikasi seperti rahim terkoyak, pendarahan tidak normal dan jangkitan kuman, selain boleh membawa maut sekiranya tidak dirawat.

“Pengambilan pil gugur juga boleh menyebabkan kelahiran cacat sekiranya kandungan gagal digugurkan setelah ubat gugur kandungan diambil.

“Isu penjualan pil pengguguran janin seperti misoprostol secara dalam talian dikesan semakin memuncak.

“Misoprostol adalah produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan tanpa pengawasan pengamal perubatan berdaftar untuk tujuan pengguguran janin.

“Pemegang pendaftaran produk berkenaan membatalkan pendaftarannya pada November 2016, menjadikannya sebagai produk tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan dilarang dijual di pasaran Malaysia.

“Mifepristone juga adalah produk tidak berdaftar yang sering disalahgunakan untuk tujuan pengguguran janin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penjualan produk yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan kesalahan mengikut Peraturan 30(1) peraturan yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

“Individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Kementerian Kesihatan menerima 51 aduan berkaitan penjualan pil gugur kandungan secara dalam talian yang disalahgunakan untuk aktiviti pengguguran haram dan penggunaan yang tidak dibenarkan oleh undang-undang sepanjang 2018 hingga tahun ini.

“Sebanyak 24 serbuan mensasarkan ke atas produk ini dilaksanakan dari 2016 hingga tahun ini yang membabitkan nilai rampasan sebanyak RM95,233,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi (BPF) meningkatkan kerjasama dengan

pengendali platform e-dagang yang berpusat di negara ini.

“Notifikasi dihantar kepada pengendali platform e-dagang agar menurunkan iklan berkenaan pil gugur janin.

“Sumber pembekalan pil gugur janin disyaki diperoleh secara haram melalui pembelian secara dalam talian atau penyeludupan dari negara luar manakala penghantaran pil gugur kepada pembeli menggunakan perkhidmatan pos dan kurier.

“Kementerian Kesihatan akan bekerjasama dengan syarikat perkhidmatan pos dan kurier dalam usaha untuk menyekat pembelian pil gugur secara dalam talian atau penyeludupan dari luar negara,” katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati membeli produk kesihatan yang dijual dalam talian supaya tidak mudah terpedaya dengan pengiklanan dan maklumat disiarkan.

“Orang ramai boleh menyemak kesahihan nombor pendaftaran produk atau notifikasi kosmetik dengan melayari portal Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu www.npra.gov.my.

“Aduan berkaitan produk kesihatan dan iklan meragukan boleh disalurkan melalui portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di alamat http://moh.spab.gov.my atau mana-mana Cawangan Penguatkuasaan Farmasi yang berdekatan atau melalui talian 0378413200.

“Ini bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil bagi membanteras penjualan produk seperti ini di pasaran,” katanya.

Comments are closed.