PKP dilanjutkan sehingga 12 Mei, tetapi ‘dilonggarkan sedikit’

Kerajaan menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, namun memberi sedikit kelonggaran terhadap dua perkara sahaja.
0
805

Kuala Lumpur: Kerajaan menetapkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, namun memberi sedikit kelonggaran terhadap dua perkara sahaja.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu hanya membabitkan kebenaran pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang ke rumah dan kebenaran satu kali perjalanan untuk rakyat yang terkandas di kampung.

Pertamanya, beliau berkata, pelajar IPT yang kini masih kampus, boleh pulang ke rumah masing dengan proses yang dirancang dengan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, ketika ini hampir 100,000 pelajar masih terkandas di kampus masing-masing, justeru kerajaan perlu memastikan kepulangan mereka teratur dan tidak berisiko jangkitan Covid-19.

“Sebelum pulang, mereka akan dipastikan benar-benar sihat dan tidak gejala sebelum kembali ke pangkuan keluarga.

“Kebenaran untuk membolehkan pelajar itu pulang akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini untuk menentukan semua pulang dengan selamat,” katanya dalam Perutusan Khas Ramadan di RTM, malam ini.

Keduanya, Muhyiddin berkata, bagi yang berada di kampung atau di tempat lain dan hendak balik semula ke rumah masing-masing, kerajaan sedang menimbang untuk memberikan kebenaran satu kali perjalanan bagi tujuan ini.

Beliau berkata, kebenaran ini hanya diberikan kepada mereka yang terperangkap di kampung atau di tempat lain sebelum kerajaan melaksanakan PKP yang pertama.

Katanya, Pergerakan ini tentunya akan melibatkan jumlah yang besar. Oleh itu, kerajaan sedang mengumpul data dan mengkaji kaedah yang terbaik untuk mengatur pergerakan saudara-saudari.

“Seperti yang telah diumumkan oleh Menteri Kanan Pertahanan, mereka yang terlibat boleh mendaftar secara online di aplikasi yang disediakan oleh PDRM, atau membuat temujanji untuk hadir ke balai polis bagi tujuan membuat pendaftaran.

“Adalah penting untuk pihak polis mengatur perjalanan saudara-saudari supaya tidak berlaku kesesakan di jalan raya atau di hentian-hentian di lebuh raya. Anda juga perlu pastikan anda sihat dan tidak mempunyai apa-apa gejala sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Menurut beliau, Butiran terperinci mengenai perkara ini akan diumumkan oleh kerajaan dalam masa terdekat.

“Ini adalah sedikit kelonggaran yang diberikan setakat ini. Saya ulang sekali lagi, Sedikit kelonggaran. Bukan terlalu longgar,” katanya.

Comments are closed.