PRK Kimanis: Anifah Tidak Bertanding

Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkah tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari nanti.
0
162

KOTA KINABALU: Datuk Seri Anifah Aman hari ini mengesahkah tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada 18 Januari nanti.

Namun, mantan Menteri Luar itu berkata beliau akan bertanding lagi bagi kerusi Parlimen Kimanis dalam Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini merupakan saat yang berat bagi saya untuk tidak bertanding (dalam PRK Kimanis). Saya tegaskan sekali lagi bahawa kecuaian pihak Suruhanjaya Pilihan Raya telah menyusahkan rakyat di Kimanis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Anifah berkata beliau akan menumpukan usaha untuk menyatukan kuasa-kuasa politik di Sabah dan bekerja untuk kebaikan rakyat negeri ini.

“Sabah dan negara menghadapi banyak cabaran yang sekiranya gagal diatasi dengan baik akan memudaratkan keselamatan.

“Sabah berhak dapat yang terbaik,” ujarnya.

“Ia adalah satu penghormatan bagi saya berkhidmat selama tiga penggal untuk rakyat Kimanis,” katanya, sambil menambah beliau juga  bangga dapat bertugas sebagai Menteri Luar selama sembilan tahun.

“Terima kasih kepada Umno dan Barisan Nasional kerana memberi peluang kepada saya untuk berkhidmat kepada rakyat Kimanis, negeri saya Sabah dan negara Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagai mangsa kecuaian dan ketidakcekapan SPR, beliau akan mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat ini.

Keputusan PRU14 bagi kerusi Parlimen Kimanis yang dimenangi Anifah dibatalkan apabila Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Pilihanraya mendapati SPR telah melakukan kesalahan.

“Kegagalan SPR membuat rayuan atas keputusan ini menimbulkan spekulasi bahawa ianya bersekongkol untuk mengkhianati mandat yang telah diberikan oleh rakyat di Kimanis,” katanya.

Dalam PRU14, Anifah menang dengan majoriti 156 undi menewaskan calon Parti Warisan Sabah Datuk Karim Bujang dan Jaafar Ismail dari Harapan Rakyat.

Anifah mendapat undi sebanyak 11,942 manakala Karim sebanyak 11,786 dan Jaafar 1,300.

Comments are closed.