Ramai Penjawat Awam Kecewa Dengan Menteri Malaysia

Belum berlalu lagi episod atau tragedi ini. Justeru kerana berasa kecewa agaknya, telah mula cadangan untuk tidak mengharap hanya kepada orang politik berparti. Tidak perlu lagi Malaysia mempunyai Jemaah Menteri. Urusan negara boleh dilaksanakan oleh Institusi Beraja bersama pengkhidmat awam.
0
425

Belum berlalu lagi episod atau tragedi ini. Justeru kerana berasa kecewa agaknya, telah mula cadangan untuk tidak mengharap hanya kepada orang politik berparti. Tidak perlu lagi Malaysia mempunyai Jemaah Menteri. Urusan negara boleh dilaksanakan oleh Institusi Beraja bersama pengkhidmat awam.

Yang di-Pertuan Agong sebagai Kepala (Ketua) Utama Negara (Supreme Head of the Federatiin) yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan (shall take precedence over all persons in the Federation) (Perkara 32).

Yang di-Pertuan Agong juga diletakhak (vested) oleh Perlembagaan dengan kekuasaan authority (authority, bukan power, yang sering di tafsirkan sebagai kuasa) (Perkara 39). Baginda juga boleh melaksanakan kekuasaan eksekutif yang diletakhak kepada baginda walaupun tertakluk kepada undang-undang dan Jadual Kedua Perlembagaan.

Sementara itu perkhidmatan awam adalah penggerak dalam pelaksanaan kekuasaan Yang di-Pertuan Agong kerana pengkhidmat awam memegang jawatannya dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong (Perkara 132(2)). Perkara ini juga jelas dalam amalan perkhidmatan awam bahawa mereka melaksanakan “Urusan Seri Paduka Baginda”.

Mungkin perkara yang dinyatakan ini boleh menjadi pengganti kepada para pemain parti politik dalam bentuk Jemaah Menteri.

Walauapa pun, dalam struktur pentadbiran Malaysia, Yang di-Pertuan Agong merupakan raja berperlembagaan yang bertindak menurut Perlembagaan bertulis. Perlembagaan bertulis ini yang dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan mempunyai banyak peruntukan yang secara harfiah, secara nyata mahukan kekuasaan eksekutif Yang di-Pertuan Agong dilaksanakan dengan nasihat Jemaah Menteri (atau menteri).

Pada masa sama, terdapat banyak undang-undang atau Akta yang meletakkan kuasa kepada menteri berkaitan.

Sementara itu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan supaya Yang di-Pertuan Agong “hendaklah” (shall) melantik Jemaah Menteri (Perkara 42). Perkataan “hendaklah” boleh memberi erti bahawa Jemaah Menteri hendaklah diwujudkan. Kecuali sekiranya perkataan hendaklah ditafsir sebagai direktori sahaja, bukan mandatori. Ini adalah urusan tafsiran undang-undang yang mungkin tidak biasa ditemui oleh mereka di luar bidang undang-undang.

Tujuan pelantikan Jemaah Menteri adalah untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong dalam perjalanan fungsinya.

Berdasarkan hujah di atas, mungkin sukar bagi Malaysia untuk tidak mempunyai Jemaah Menteri. Namun begitu, selepas episod dan kemelut (atau krisis ) ini berlangsung, pengajaran yang patut diambil oleh para menteri ialah dengan meminimumkan campur tangan mereka dalam urusan perkhidmatan agensi kerajaan. Pada masa sama pengkhidmat awam hendaklah membebaskan diri mereka daripada belenggu para Menteri.

Pengkhidmat awam hendaklah bertindak profesional demi rakyat, bukan demi kelangsungan kuasa politik para menteri. Selama ini ramai penjawat awam yang menyuarakan rasa kecewa dengan tingkah laku pak menteri. Pengkhidmat awam perlukan revolusi diri untuk menjadi lebih bertanggungjawab kepada rakyat, dan perlu juga bersuara secara beramai-ramai mahukan kebebasan demi kepentingan rakyat dan negara serta mendapat kepuasan diri dalam menunaikan amanah Allah.

Untuk semua pengkhidmat awam, Selamat Berkhidmat, demi agama, bangsa dan negara. Begitu juga untuk mereka di sektor swasta, selamat berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara. – MalaysiaGazette

Dr Shamrahayu A. Aziz adalah pensyarah undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) 

Comments are closed.