Remaja Kantoi ‘pecah’ tabung masjid

Dua remaja yang leka ‘mengeluarkan’ wang tabung masjid ditahan selepas tindakan mereka disedari beberapa penduduk di sebuah masjid di Perkampungan Sungai Isap 2, hari ini.
0
204

KUANTAN: Dua remaja yang leka ‘mengeluarkan’ wang tabung masjid ditahan selepas tindakan mereka disedari beberapa penduduk di sebuah masjid di Perkampungan Sungai Isap 2, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, dua remaja lelaki masing-masing berusia 17 tahun itu ditangkap penduduk yang mengintip perbuatan mereka sebelum diserahkan kepada polis.

Difahamkan, kejadian itu membabitkan tiga remaja namun seorang daripada mereka meloloskan diri daripada kepungan penduduk.

Sumber polis berkata, dua remaja terbabit dipercayai tinggal di kawasan berhampiran sudah beberapa kali melakukan jenayah itu sebelum ditangkap.

“Orang ramai ambil inisiatif dengan mengintip perbuatan kumpulan itu sebelum menahan dua daripada tiga remaja yang sedang leka mengeluarkan duit tabung masjid.

“Usaha mengesan seorang lagi rakan remaja itu sedang dilakukan dan kami yakin remaja terbabit dapat ditahan dalam masa terdekat,” katanya, hari ini.

Sumber itu memaklumkan, dua remaja terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, penduduk Abdul Rahim Othman, 59, ketika dihubungi berkata, kejadian pecah tabung masjid semakin menjadi-jadi di kawasan perkampungan itu.

Menurutnya, penduduk kemudian mengambil inisiatif untuk menangkap mereka yang bertanggungjawab.

“Bulan lalu tabung besi yang dikimpal pada tiang utama masjid turut dilarikan. Lebih menyedihkan, mereka bukan sahaja mencuri duit tabung malah melakukan perbuatan khianat dan terkutuk apabila membuang air kecil di lubang tabung,” katanya.

Beliau turut meminta ibu bapa mengawasi gerak-geri dan aktiviti dilakukan anak mereka supaya tidak terjebak dengan perbuatan jenayah.

Leave a reply