“Saya rayu Dr Mahathir jangan letak jawatan” – Anwar

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.
0
635

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau telah merayu kepada Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

“Saya bersama beliau, saya dimaklumkan tetapi tidak dapat memaklumkannya sehinggalah ia diumumkan secara terbuka (keputusan letak jawatan).

“Saya merayu kepada beliau bagi pihak PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk kekal,” kata Presiden PKR itu kepada pemberita sejurus pulang dari Istana Negara.

Sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Anwar bersama-sama isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bertemu Dr Mahathir di kediaman Perdana Menteri di Seri Kembangan.

Turut serta dalam pertemuan dengan Dr Mahathir ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Dalam pertemuan itu, Anwar ada memaklumkan pada Dr Mahathir agar mereka sama-sama menangani ‘pengkhianatan’ yang berlaku.

Dr Mahathir juga, kata Anwar, memaklumkan tidak terlibat dalam usaha menggulingkan kerajaan PH.

Comments are closed.