‘Saya sedia tinggalkan PN demi Parti Bersatu’

Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sedia meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kembali kepada Pakatan Harapan (PH) jika langkah itu akan membuatkan partinya terus 'hidup'.
0
35

JOHOR BAHRU:  Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sedia meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan kembali kepada Pakatan Harapan (PH) jika langkah itu akan membuatkan partinya terus ‘hidup’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sri Gading antara pengasas Bersatu sanggup berbuat demikian demi survival parti tersebut yang akan menjadikannya lebih kukuh.

“Sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun Dr Mahathir dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Saya tidak mahu Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli awal yang berjuang dipingggirkan.

“Andai kata saya perlu meninggalkan rakan-rakan PN dan kembali semula kepada PH dan di situ ada jaminan bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya akan juga sedia lakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Media difahamkan, Shahruddin yang juga bekas Setiausaha Agong Bersatu merupakan seorang daripada wakil rakyat parti tersebut yang dikhabarkan akan membuat pusingan U menyokong semula PH dan gerakan terkini bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Timbalan Menteri Kerja Raya itu turut menyoal sama ada Bersatu akan lebih ‘selamat’ berada bersama gabungan PH atau Perikatan Nasional terutama jika beliau bertanding semula kerusi Parlimen Sri Gading.

“Saya kini Ahli Parlimen Sri Gading. Adakah PN atau PH yang akan memberikan laluan mudah tanpa bahas untuk menerima calon ahli Bersatu bertanding di Parlimen Sri Gading pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti? PN atau PH?

“Itu juga jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH… saudara jawab,” ujarnya yang sudah melakukan kunjungan hormat terhadap Dr Mahathir di Ibu Pejabat Bersatu pada jam 3 petang, Jumaat lalu.

Beliau yang mengakui tidak sabar untuk berjumpa pengasas Bersatu itu berkata, antara tujuannya ialah berkenaan surat pengguguran Dr Mahathir sebagai Pengerusi Bersatu secara automatik disebabkan duduk di kerusi pembangkang pada persidangan Dewan Rakyat bulan lalu.

“Perlembagaan Bersatu ditafsirkan begitu, katanya oleh pakar undang-undang. Tun dah duduk di barisan pembangkang di Dewan Rakyat dalam persidangan bulan lepas. Maka Tun dah masuk pembangkang,” katanya.

Jelasanya, beliau mengambil keputusan untuk menyertai PN dan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri setelah Presiden Bersatu itu mendapat sokongan majoriti dalam Dewan Rakyat daripada kalangan ahli Parlimen.

“Sebagai ‘budak’ Tan Sri Muhyiddin Yassin pastinya saya gembira apabila beliau menjadi Perdana Menteri. Saya bertanya pada diri sendiri, adakah PN ini wujud sebagai badan sah? Lengkap dengan Perlembagaan dan pendaftaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS),” soalnya.

Sepanjang ingatannya kata Shahruddin, PH berdaftar manakala PN sekadar nama badan persatuan tidak rasmi antara ahli Parlimen yang bersetuju Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

“PN bukan gabungan parti apatah lagi saya belum lihat, kaji dan bahas sedalam-dalamnya Perlembagaan PN yang telah dibawa ke Perhimpunan Agong Khas atau setidak-tidaknya ke Majlis Tertinggi dan sama-sama kita putuskan di situ bahawa Bersatu telah bersetuju masuk PN,” soalnya lagi.

Comments are closed.