Srikandi Perlu Siap Sedia Hadapi PRK Kimanis

MEMBAKUT: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari depan.
0
204

MEMBAKUT: Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) menyatakan kesediaan untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis pada 18 Januari depan.

Ketuanya, Datuk Seri Rina Harun berkata, Srikandi Negeri Sabah telah pun mengadakan mesyuarat tentang perkara itu dan beberapa perkara telah dibincangkan bersama antaranya mengenai persiapan jentera di peringkat bahagian Kimanis.

“Perbincangan telah diadakan baru-baru ini dan antaranya adalah mengenai persiapan jentera parti untuk PRK Kimanis nanti. Jentera Srikandi BERSATU Sabah dan bahagian Kimanis bersiap sedia untuk membantu berkempen, ” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Rimbunan Muhibah Srikandi Negeri Sabah yang diadakan di kediaman Ketua Penaja BERSATU Bahagian Kimanis, Datuk Arifin Arif.

Dalam perkembangan berkaitan, Arifin turut memberitahu, BERSATU bahagian Kimanis termasuk Armada dan Srikandi telah pun bersiap sedia dalam menghadapi PRK Kimanis nanti.

Jelas beliau, pimpinan BERSATU telah pun memberi arahan jelas untuk membantu Parti Warisan Sabah (Warisan) tidak kira siapa calon Warisan yang bakal bertanding untuk kerusi Parlimen Kimanis itu.

Arifin turut memaklumkan bahawa beliau terbuka untuk berbincang dengan Warisan Bahagian Kimanis dalam menghadapi PRK Kimanis.

Beliau harap, perbincangan dapat diadakan segera bagi mengatur jentera masing-masing di kawasan bagi memastikan calon Warisan menang dalam PRK Kimanis nanti.

Turut hadir, Ketua Srikandi BERSATU Negeri Sabah, Datuk Azizah Mohd Dun; Timbalan Ketua Srikandi BERSATU Negeri Sabah, Datuk Amisah Yassin dan ADUN Lumadan Matbali Musah.

Comments are closed.