Sudah tua pun jadi ‘scammer’ pelitup muka

Seorang wanita warga emas dijatuhi hukuman denda RM800 oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, selepas didapati bersalah menipu penjualan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.
0
113

Seorang wanita warga emas dijatuhi hukuman denda RM800 oleh Mahkamah Majistret Bahau, Jempol, Negeri Sembilan, selepas didapati bersalah menipu penjualan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

Majistret Khir Nizam Jemari menjatuhkan hukuman itu terhadap Faridah Ibrahim, 68, berasal dari Kota Bahru, Kelantan, selepas tertuduh mengaku salah sebaik pertuduhan dibaca jurubahasa mahkamah.

Mengikut kertas pertuduhan, Faridah dikatakan menerima wang berjumlah RM608 milik mangsa yang melakukan pemindahan wang ke dalam akaun bank tertuduh pada jam 8.10 pagi, 20 Mac lalu.

Mangsa, seorang wanita berusia 40 tahun berasal dari Felda Palong Tujuh, Jempol sebelum itu melayari Facebook sebelum terlihat iklan penjualan pelitup muka dan cecair pembasmi kuman.

Mangsa berminat membelinya dan berhubung dengan tertuduh menggunakan aplikasi WhatsApp.

Bagaimana pun sebaik pembayaran dibuat dengan memasukkan wang ke akaun tertuduh, tertuduh menyekat WhatsApp mangsa sebelum mangsa membuat laporan polis.

Tertuduh bagaimanapun gagal memberi penjelasan memuaskan bagaimana wang berkenaan dimasukkan ke akaunnya.

Susulan itu dia dituduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 yang boleh dihukum mengikut akta yang sama.

Khir Nizam turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Comments are closed.