SUNGAI KAMPUNG KAULUAN, TAMPARULI TERCEMAR AKIBAT LADANG TERNAKAN AYAM

Tindakan beberapa pengusaha ladang ternakan ayam di Kampung Kauluan, dekat sini, mengalirkan najis haiwan dari kolam kumbahan ladang ke dalam sungai berhampiran menyebabkan airnya tercemar najis haiwan berkenaan.
0
292

TAMPARULI: Tindakan beberapa pengusaha ladang ternakan ayam di Kampung Kauluan, dekat sini, mengalirkan najis haiwan dari kolam kumbahan ladang ke dalam sungai berhampiran menyebabkan airnya tercemar najis haiwan berkenaan.

Perbuatan tidak bertanggungjawab pengusaha ternakan ayam terbabit dikatakan berlaku sejak 10 tahun lalu, menyebabkan air Sungai Kauluan yang mengalir ke Sungai Magana di Kampung Nohirot dahulunya bersih bertukar warna menjadi hitam dan berbau busuk.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Nohirot, Sait Lawadin, 56, berkata air sungai tercemar itu mengalir ke Loji Penapisan Air Telibong, yang membekalkan air kepada lebih 100,000 pengguna di Tamparuli, Tuaran dan sekitarnya.

“Masalah itu sudah dilaporkan kepada agensi kerajaan berkaitan sejak mula kejadian berlaku, namun tindakan agensi kerajaan berkenaan hanya mengambil contoh air sungai tercemar.

“Selepas itu, kami tidak menerima sebarang maklumat lanjut mengenai tahap pencemaran dialami sungai berkenaan, selain tiada tindakan diambil menangani masalah itu sehingga ini,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata pengusaha ladang ternakan ayam di Kauluan itu, mengambil kesempatan mengalirkan najis haiwan dari kolam kumbahan ladang berkenaan apabila paras air sungai meningkat ketika hujan.

“Akibat pencemaran itu air sungai berkenaan tidak dapat digunakan penduduk untuk mengairi sawah padi dan keperluan harian kerana bimbang boleh menyebabkan jangkitan penyakit berbahaya,” katanya.

Penduduk Kampung Kauluan, Badai Liban, 57, berkata sebelum masalah pencemaran najis ayam berlaku, Sungai Kauluan dan Sungai Magana pernah terjejas najis ternakan babi di Ulu Kauluan, namun kejadian itu tidak berlaku lagi selepas ladang berkenaan diarah tutup oleh kerajaan.

“Kini, masalah baharu pula timbul apabila ada pengusaha membuka ladang ternakan ayam besar-besaran di Kauluan sejak 10 tahun lalu, tidak bertanggungjawab mengalirkan najis dalam sungai,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, masalah itu hanya boleh diselesaikan dengan menutup operasi ladang ternakan ayam berkenaan, yang cukup menimbulkan kesulitan kepada lebih 800 penduduk Kauluan dan Nohirot.

“Sudahlah air sungai tercemar, udara di kampung ini juga bau busuk najis ayam memaksa penduduk menutup rapat pintu dan tingkap, selain memasang kipas untuk mengurangkan kesan bau,” katanya.

Badai berkata penduduk tidak mempunyai masalah dengan kewujudan ladang ayam itu, jika semua piawaian dipatuhi pengusaha untuk mengelakkan pencemaran sungai dan udara.

Leave a reply