Syor PKP dilonggar untuk beberapa sektor

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengumumkan pada Khamis atau Jumaat ini, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, dilanjutkan, dilonggarkan atau ditamatkan selepas 28 April ini.
0
3315

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka mengumumkan pada Khamis atau Jumaat ini, sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, dilanjutkan, dilonggarkan atau ditamatkan selepas 28 April ini.

Berikutan trend penurunan kes positif baharu, kes pulih dan kes kematian hasil tiga fasa PKP setakat ini, ada pandangan kerajaan boleh melonggarkan beberapa sektor, khususnya berkaitan perniagaan dan pekerjaan untuk menjana semula ekonomi negara.

Pada masa sama, ada juga pihak berpandangan kerajaan perlu meneruskan pelaksanaan PKP seperti sekarang sehingga Malaysia dapat memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, berpendapat PKP boleh disambung, namun kerajaan wajar memberi kelonggaran bagi membolehkan perniagaan dan ekonomi dapat bergerak semula.

Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (kiri) dan Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. - Foto NSTP
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff (kiri) dan Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud. – Foto NSTP

“Jika PKP dilonggarkan, perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi haruslah membuktikan bahawa mereka akan patuh pada peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Prosedur operasi standard (SOP), termasuk berkaitan penjagaan kesihatan di tempat kerja perlu ada dan tertakluk kepada audit dan semakan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Pandangan sama dikongsi penganalisis ekonomi, Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, yang berkata, kewajaran PKP diteruskan masih tinggi tetapi kelonggaran untuk perniagaan beroperasi perlu diberikan berlandaskan SOP ketat ditetapkan KKM.

“Syarikat tempatan juga perlu mengubah model perniagaan untuk disesuaikan dengan kebiasaan baharu untuk tempoh dua tahun akan datang.

“Syarikat tempatan perlu mempunyai akses kepada e-dagang di mana ia membabitkan ekosistem operasi syarikat dari segi logistik, pergerakan pekerja, latihan peraturan dan peralihan kepada konsep digital,” katanya.

Presiden Persatuan Remisier Bumiputera Malaysia, Nazarry Rosli, turut bersetuju kerajaan perlu menilai beberapa sektor tambahan untuk diberikan kelonggaran beroperasi jika PKP dilanjutkan.

Katanya, kebenaran untuk beroperasi penting supaya ia tidak menjejaskan rantaian bekalan dalam sektor penting ekonomi negara.

Pakar epidemiologi, Prof Datuk Dr Awang Bulgiba Awang Mahmud, juga berpandangan PKP wajar dilonggarkan sekiranya jumlah kes sembuh daripada jangkitan COVID-19 terus meningkat, dan kes baharu pula mengekalkan trend menurun sehingga 28 April ini.

Anggota polis bersama ATM memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Cheras. - NSTP/Aizuddin Saad
Anggota polis bersama ATM memeriksa kenderaan yang melalui sekatan jalan raya pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di Cheras. – NSTP/Aizuddin Saad

Katanya, kerajaan boleh memberi kelonggaran dengan membenarkan beberapa lagi sektor industri dan perniagaan yang penting kepada ekonomi dan kehidupan awam, untuk beroperasi dengan syarat ketat.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kekangan terhadap orang awam seperti mengadakan perhimpunan, termasuk solat tarawih, kenduri kahwin atau himpunan sosial, perlu kekal untuk tempoh antara enam hingga 12 bulan selepas PKP dilonggarkan atau ditamatkan.

“Namun, kebenaran untuk beroperasi ini mesti dilakukan secara berfasa dan bukan serentak, serta bergantung kepada taksiran risiko, sama ada sesuatu industri itu berisiko tinggi atau tidak untuk menyebabkan jangkitan semula COVID-19.

“Pada masa sama, kerajaan perlu beri insentif untuk menggalakkan syarikat melaksanakan dasar bekerja dari rumah, untuk mengurangkan risiko jangkitan,” katanya.

Dr Awang Bulgiba menegaskan, sebarang keputusan untuk melonggar atau menamatkan PKP bukan saja bergantung pada statistik kes, tapi juga penilaian terhadap risiko jangkitan COVID-19 kembali menular di negara ini.

Antara kaedah menilai risiko penularan semula wabak itu adalah memastikan kes sembuh mengatasi kes baharu secara berterusan sehingga hari terakhir PKP.

“Apabila bilangan sembuh berturutan mengatasi kes baharu, ia bermakna fasiliti hospital kita mampu merawat dan menangani jangkitan ini. Penilaian kedua adalah memastikan tiada kluster baharu yang besar seperti kluster tabligh.

“Ketiga adalah melihat tahap pematuhan orang ramai terhadap PKP. Jika pematuhan rendah, kemungkinan berlaku ledakan kes baharu selepas PKP dilonggar atau ditamatkan, adalah tinggi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, menggariskan enam kriteria perlu diambil kira, antaranya kawalan sempadan negara dan kawalan pergerakan rakyat sebelum keputusan mengenai PKP dibuat.

“Tanpa kawalan sempadan, kes import akan memasuki negara ini. Kita sudah mempunyai 95 kes import setakat ini. Justeru amat penting kita memperketatkan kawalan sempadan.

“Satu lagi ialah kawalan pergerakan. Kita mahu mengurangkan pergerakan kuman iaitu kebolehjangkitannya. Sekarang kita ada 2,041 kes positif yang kebolehjangkitannya tinggi dan kita kena sekat virus ini menjangkiti orang ramai,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di Putrajaya, semalam.

Aspek lain, memperkasakan sistem kesihatan negara, termasuk hospital, wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU) COVID-19; meningkatkan keupayaan makmal mengesan jangkitan dengan lebih pantas; melindungi mereka yang berisiko tinggi; penerapan kebiasaan baharu dalam kalangan masyarakat dan peranan komuniti mencecah penularan wabak.

Dr Noor Hisham yakin jika semua kriteria itu boleh dicapai, kerajaan boleh memberi pertimbangan untuk menamatkan PKP.

Comments are closed.