TAWAU: PASPORT TAMAT TEMPOH LELAKI WARGA ASING DITAHAN MARITIM MALAYSIA TAWAU

PASPORT TAMAT TEMPOH TAWAU: Maritim Malaysia ( Zon Maritim Tawau ) telah menahan sebuah bot penumpang tempatan kerana disyaki telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 di sekitar perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik Tawau,semalam.
0
270

TAWAU: PASPORT TAMAT TEMPOH TAWAU: Maritim Malaysia ( Zon Maritim Tawau ) telah menahan sebuah bot penumpang tempatan kerana disyaki telah melanggar Akta Imigresen 1959/63 di sekitar perairan Tanjung Saima, Pulau Sebatik Tawau,semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri bin Hussin berkata, bot ronda Zon Maritim Tawau yang menjalankan rondaan dan pemeriksaan rutin di sekitar kawasan tanggungjawab telah menahan bot penumpang mempunyai nombor pendaftaran terbabit pada jam lebih kurang 4.08 petang.

Semasa ditahan, bot penumpang tersebut sedang menuju masuk ke jeti bot penumpang daerah Tawau dari Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik.

Pemeriksaan awal mendapati terdapat seorang juragan lelaki warga Indonesia berumur 42 tahun mempunyai pasport yang sah.

Bagaimanapun, pihak Maritim Malaysia mendapati seorang penumpang lelaki dewasa warga Indonesia berumur 29 tahun yang berada dalam bot itu telah mengemukakan dokumen pengenalan diri pasport yang telah tamat tempoh.

Kesemua yang ditahan termasuk bot penumpang dan satu unit enjin sangkut Yamaha 40 kuasa kuda dirampas seterusnya diiring masuk ke jeti Zon Maritim Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/63. Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai lebih kurang RM23,000.

Menurut beliau lagi, Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Sabah khususnya Tawau, selamat, aman dan terkawal.

Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau, 089-752115 atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999.

Leave a reply