Tiada Warga Sabah Akan Terkecuali Terima Bantuan COVID-19

Sementara itu, di peringkat kerajaan negeri, Bantuan Covid-19 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertujuan memastikan tiada mana-mana Sabahan yang terkecuali.
0
28984

Jika anda dan keluarga sedang menikmati hidangan makan malam yang lazat, luangkan sedikit masa memikirkan tentang jiran anda atau orang di sekeliling anda, tanya diri sendiri adakah mereka mendapat nikmat yang sama.

Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, banyak cerita dikongsikan di media sosial tentang keadaan keluarga miskin yang terputus sumber pendapatan sehingga tidak mampu membeli bekalan makanan untuk keluarga.

Antara kisah yang meruntun jiwa adalah tentang seorang bapa muda mengayuh basikal sejauh beberapa kilometer untuk mengejar sebuah van sukarelawan yang sedang menyampaikan bantuan kepada golongan memerlukan.

Pemuda yang hilang pekerjaan itu merayu turut diberikan bantuan demi sesuap nasi untuk isteri dan dua anaknya termasuk bayi yang baru dilahirkan.

Kisah-kisah ini memberi pengajaran kepada kita untuk sentiasa peka kepada masyarakat di persekitaran kita terutama soal kebajikan mereka, seperti kata pepatah berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Sebab itulah dalam perutusan khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin petang tadi, beliau menyeru rakyat Malaysia agar saling mengambil berat antara satu sama lain dalam tempoh PKP ini.

“Pendek kata, kita ibarat sebuah keluarga besar. Kita saling bantu membantu ketika zaman susah. Kita jaga keluarga kita. Kita jaga jiran kita. Kita jaga masyarakat kita.

“Baik kita di kampung, di kawasan perumahan, di kondominium, di rumah flat. Kita jaga kita. Inilah nilai sebenar persaudaraan rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa,” katanya.

Sehubungan itu, dalam tempoh PKP ini, setiap individu mempunyai tanggungjawab sosial masing-masing untuk memastikan kebajikan orang sekeliling kita terjaga, jika mereka tidak mempunyai apa-apa kita kongsikan ikut kemampuan.

Sementara itu, di peringkat kerajaan negeri, Bantuan Covid-19 Sabah yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal bertujuan memastikan tiada mana-mana Sabahan yang terkecuali.

Baik di Semenanjung atau Sarawak termasuk para pelajar di hostel atau kolej kediaman, bantuan makanan dihulurkan kepada mereka kerana itu tanggungjawab kerajaan memastikan setiap rakyat tidak menderita dengan PKP.

Selain bantuan makanan kepada agensi barisan hadapan, di segenap pelusuk Sabah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) sedang bekerja keras menghantar bantuan makanan yang disediakan agar semua isi rumah mendapat manfaat.

UPPM menempuh segala rintangan seperti berjalan kaki, mendaki bukit, menempuh sungai, malah menaiki bot untuk memastikan bekalan makanan itu sampai kepada isi rumah yang memerlukan.

Langkah Kerajaan Sabah menyediakan peruntukan puluhan juta ringgit untuk membekalkan makanan itu mendapat pujian dan tidak dilakukan di negeri-negeri lain.

Namun hakikatnya, setiap dasar yang dilaksanakan pasti ada kelemahan dan sudah tentu ada rakyat yang akan tercicir daripada menerima bantuan atas pelbagai faktor seperti kawasalan di pedalaman dan tiada jalan perhubungan.

Maka, di sinilah pentingnya peranan kita sebagai masyarakat yang hidup berjiran untuk saling membantu antara satu sama lain dalam tempoh sukar ini.

Hidup berjiran umpama sebuah keluarga besar, kita jaga kita!

 

Sumber: BTTV

Comments are closed.