Tiada tekanan, ugutan pinda Laporan Pengauditan 1MDB, Ali Hamsa

Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, menafikan pernah mengugut atau memberikan tekanan supaya Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda.
0
16

KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, menafikan pernah mengugut atau memberikan tekanan supaya Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dipinda.

Ali berkata, beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda tidak pernah mengugut Ketua Audit Negara (ketika itu), Tan Sri Ambrin Buang, untuk meminda laporan berkenaan.

Ketika menjawab soalan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Datuk Seri Najib Razak pada sesi pemeriksaan balas, Ali menafikan bahawa beliau mengarahkan Ambrin untuk mengubah laporan terbabit.

Malah menurut saksi pendakwaan keempat itu, Mesyuarat Penyelarasan Laporan Audit 1MDB pada 24 Februari 2016 yang membabitkan Jabatan Audit Negara, Jabatan Peguam Negara, dan wakil 1MDB berlangsung dalam keadaan mesra.

Saksi itu bersetuju dengan cadangan peguam bahawa mesyuarat bersetuju untuk memadam beberapa isu antaranya kewujudan dua penyata kewangan 1MDB yang bercanggah bagi 2014 dan berhubung kehadiran ahli perniagaan dikehendaki polis, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.

Turut dipersetujui ialah memadamkan persetujuan Najib terhadap isu penangguhan penerbitan bon Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan perjanjian Country Groups Securities Thailand dengan ACME Time Limited.

Menjawab soalan Muhammad Shafee selanjutnya, saksi itu berkata selepas mesyuarat, Ambrin berada dalam keadaan normal dan tidak kelihatan kecewa kerana beliau sendiri menghantarnya ke muka pintu.

Katanya, Ambrin nampak agak gembira dan langsung tidak tertekan.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) JAN, Nor Salwani Muhammad, berkata rasa tidak senang terpancar pada riak wajah Ambrin ketika menyampaikan arahan kepada pasukan audit untuk menggugur dan menukar beberapa perkara yang terkandung dalam draf Laporan Pengauditan 1MDB.

Saksi itu menjelaskan bahawa Ambrin kelihatan sedih dan rasa tercabar.

Comments are closed.