Tindakan Shafie buat U-turn isu PKPB cetus kekeliruan: PBS

Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, U-turn berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negeri itu.
0
118

Kota Kinabalu: Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, U-turn berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah telah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan rakyat di negeri itu.

Beliau berkata, dua hari lalu, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menolak PKPB yang diumumkan kerajaan Persekutuan pada 4 Mei dan berkata Sabah akan berpegang kepada garis panduan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa empat selain hanya membenarkan sektor tertentu dibuka semula pada 12 Mei apabila perintah itu berakhir.

“Kemudian semalam, Shafie tiba-tiba membuat U-turn terhadap keputusan kerajaan negeri sebelum ini dan mengumumkan bahawa Sabah telah memutuskan untuk menguatkuasakan fasa lima PKP dengan membenarkan industri tertentu beroperasi.

“Kerajaan negeri Sabah perlu menjelaskan sama ada kita kini dalam fasa keempat atau kelima PKP? Orang ramai ingin tahu sama ada kita kini mematuhi PKPB atau PKP,” menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Bangkuai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, ramai yang tidak tahu garis panduan mana yang perlu dipatuhi.

“Bolehkah mereka melakukan perjalanan rentas daerah? Bolehkah mereka berada di jalan selepas 6 petang? Bolehkah empat orang berada dalam sebuah kereta ataupun hanya dua orang sahaja?” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu menilai situasi sebenar di lapangan dan membantu mereka yang bergantung hidup kepada pendapatan harian.

Comments are closed.