Tun M sokong Bersatu keluar PH sebelum tukar pendirian,Mohd Radzi

Tun Dr Mahathir Mohamad mengetahui dan menyokong perancangan membawa keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Pakatan Harapan (PH) sebelum mempunyai pendirian berbeza dengan parti pada saat akhir
0
92

Tun Dr Mahathir Mohamad mengetahui dan menyokong perancangan membawa keluar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dari Pakatan Harapan (PH) sebelum mempunyai pendirian berbeza dengan parti pada saat akhir.

Ketua Penerangan Bersatu Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, seperti diketahui umum, pemimpin berusia 95 tahun itu sentiasa didesak oleh pimpinan PH terutamanya daripada PKR dan DAP supaya beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri dan mengundang rasa tidak selesa kepadanya dan pimpinan Bersatu yang lain serta ahli parti.

Selain itu katanya, pimpinan dan ahli parti di pelbagai peringkat juga tidak selesa dengan tindak tanduk parti DAP dan mereka rata-rata mahu parti mengkaji semula hubungan dengan DAP dalam PH.

“Kemuncak usaha ini ialah pada 23 Februari 2020. Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada hari itu dimaklumkan bahawa Tun sudah mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat yang terdiri daripada ahli-ahli Parlimen Bersatu, Umno, Pas, GPS, Warisan dan sebahagian Ahli Parlimen PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Dengan sokongan ini, Tun boleh membentuk sebuah kerajaan baharu dan beliau kekal sebagai Perdana Menteri.

“Dengan sokongan padu kepada Tun yang diterima daripada Ahli Parlimen parti-parti di luar PH, MPT Bersatu memutuskan untuk keluar dari PH dan membentuk sebuah gabungan politik baharu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzi berkata, sebaliknya Dr Mahathir tidak bersetuju dengan keputusan itu dan beliau mahu kekal berada dalam PH kerana mesyuarat Majlis Presiden PH pada 21 Februari 2020 memutuskan untuk menyerahkan kepada beliau menentukan tarikh bila hendak melepaskan jawatan Perdana Menteri.

Menurutnya, atas rasa hormat kepada Tun, MPT Bersatu bersetuju memberikan sedikit masa kepada beliau untuk mengumumkan keputusan yang dipersetujui oleh mesyuarat MPT dan dengan kata lain, keputusan untuk keluar dari PH sudah dibuat, cuma pengumumannya saja ditangguhkan.

Bagaimanapun katanya, berselang sehari, iaitu 24 Februari 2020, Tun mengumumkan peletakan jawatan sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu dengan alasan beliau tidak lagi mendapat sokongan ahli-ahli MPT.

“Menurut Fasal 16.9 Perlembagaan Bersatu, apabila Pengerusi berhenti maka Presiden memangku jawatan Pengerusi. Sebagai Presiden dan pemangku Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama membuat pengumuman parti keluar dari PH sebagaimana diputuskan MPT dalam mesyuarat sehari sebelumnya.

“Hakikat bahawa Bersatu keluar dari PH juga diakui Tun sendiri yang menyebut beliau meminta diberi masa dalam perutusan khasnya pada 26 Februari lalu.

“Jadi, saya ingin ulangi bahawa dakwaan yang mengatakan MPT Bersatu tidak pernah membuat keputusan keluar dari PH adalah tidak benar sama sekali dan tidak disokong oleh fakta,” katanya.

Beliau turut mengulangi Muhyiddin yang memangku jawatan Pengerusi adalah selaras dengan Fasal 16.9 perlembagaan Bersatu yang menetapkan jika Pengerusi berhenti atau diberhentikan, maka Presiden hendaklah memangku jawatan berkenaan sehingga pemilihan pengerusi baharu.

Katanya, walaupun Ahli Parlimen Langkawi itu menolak peletakan jawatan sebagai Pengerusi, namun tiada peruntukan dalam perlembagaan parti yang membenarkan MPT mengembalikan semula jawatan selepas pemegangnya meletak jawatan.

“Semua ahli termasuk Pengerusi, Presiden dan ahli MPT adalah tertakluk kepada hak dan tanggungjawab yang termaktub dalam perlembagaan parti. Tiada mana-mana ahli atau pemimpin, termasuk pemimpin tertinggi parti sekalipun yang mempunyai kuasa melangkaui perlembagaan parti. Dengan kata lain, tiada sesiapapun yang berkuasa mutlak di dalam parti.

“Saya menyeru ahli supaya terus memelihara perpaduan parti. Jika terdapat sebarang perselisihan pendapat, maka rujuklah kepada perlembagaan parti yang memberi panduan kepada kita untuk melaksanakan amanah sebagai ahli dan menjalankan pentadbiran parti dengan sempurna,” katanya.

Comments are closed.