TWITTER BERHENTI TERIMA IKLAN POLITIK

Twitter akan berhenti menerima iklan politik secara global di platformnya, sebagai reaksi kepada kebimbangan yang semakin memuncak berhubung salah maklumat daripada ahli politik di media sosial.
0
119

WASHINGTON: Twitter akan berhenti menerima iklan politik secara global di platformnya, sebagai reaksi kepada kebimbangan yang semakin memuncak berhubung salah maklumat daripada ahli politik di media sosial.

Ketua Eksekutifnya, Jack Dorsey, dalam akaun Twitter berkata walaupun iklan internet amat berpengaruh dan berkesan bagi pengiklan komersil, kuasa itu memberi risiko penting kepada politik, yang menyaksikan ia boleh digunakan untuk mempengaruhi undian yang memberi kesan kepada kehidupan jutaan orang.

Tindakan itu dibuat dengan Facebook berada dalam tekanan supaya mengenakan pemeriksaan terhadap ahli politik yang membuat iklan dengan dakwaan palsu.

Dorsey berkata, dasar baru itu, yang butirannya akan didedahkan bulan hadapan dan berkuat kuasa bermula 22 November, juga akan mengharamkan iklan mengenai isu politik juga daripada calon.

“Kami mempertimbangkan menghentikan iklan calon, tetapi mengeluarkan iklan menunjukkan cara mengelakkan ia.

“Tambahan pula, tidak adil bagi semua orang kecuali calon untuk membeli iklan bagi isu yang mahu diketengahkan. Jadi, kami juga menghentikannya,” kata Dorsey.

Langkah Twitter itu bertentangan dengan dasar Facebook yang membenarkan ucapan politik dan iklan disiarkan tanpa pemeriksaan fakta di rangkaian sosial terkemuka itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Facebook, Mark Zuckerberg, berkata iklan politik bukan sumber pendapatan besar tetapi menambah beliau percaya ia penting untuk membolehkan semua orang bersuara dan larangan iklan politik memberikan kelebihan kepada penyandang jawatan.

Leave a reply