Wang tunai RM600,000 di rumah ahli Armada Bersatu dirampas

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai RM600,000 dari rumah dua ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai milik parti berkenaan.
0
56

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas wang tunai RM600,000 dari rumah dua ahli Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dipercayai milik parti berkenaan.

Pengarah Siasatan SPRM Datuk Norazlan Mohd Razali berkata, kedua-dua ahli Armada itu disoal siasat pada 5 Jun lalu berhubung laporan dibuat oleh Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berhubung kehilangan RM250,000 dari peti simpanan di rumahnya.

“Hasil soal siasat, kami pergi ke rumah kedua-dua ahli (Armada) berkenaan di dua lokasi berasingan di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan dilakukan menemui wang tunai berjumlah RM600,000 di dua lokasi terbabit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, SPRM turut merampas sebuah kereta bernilai RM100,000 milik pihak ketiga, hari ini yang dipercayai dibeli menggunakan dana yang disalah guna untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, media melaporkan SPRM dipercayai meminta Syed Saddiq yang juga bekas Ketua Armada Bersatu untuk mengisytiharkan aset dan harta bagi membantu siasatan.

Sebelum ini, media juga melaporkan kehilangan wang berjumlah lebih RM200,000 dari kediaman Syed Saddiq yang membawa kepada siasatan SPRM berhubung perkara itu pada Mac lalu.

Comments are closed.