WARGA PAKISTAN DITAHAN CUBA ELAK PEMERIKSAAN IMIGRESEN DI LABUAN

Tindakan seorang lelaki Pakistan masuk ke Sabah melalui Labuan dengan menggunakan pengangkutan air gagal apabila suspek ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Papan petang semalam.
0
212

LABUAN: Tindakan seorang lelaki Pakistan masuk ke Sabah melalui Labuan dengan menggunakan pengangkutan air gagal apabila suspek ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Pulau Papan petang semalam.

Suspek berumur 22 tahun itu dipercayai baru tiba menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan sebelum menggunakan bot laju memasuki Sabah untuk mengelak daripada pemeriksaan Imigresen.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, suspek ditahan pada pukul 4.30 petang dan pemeriksaan mendapati pasportnya tidak mempunyai cop Jabatan Imigresen Sabah.

“Hasil pemeriksaan, bot laju tersebut dikendalikan seorang juragan lelaki warga asing berumur 22 tahun yang mempunyai dokumen perjalanan sah.

“Bagaimanapun, warga Pakistan itu mengemukakan pasport tanpa cop pemeriksaan Jabatan Imigresen negeri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambahnya, turut ditemukan ialah tiket penerbangan dari Labuan ke Kuala Lumpur milik warga Pakistan tersebut.

“Suspek dipercayai menggunakan penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Labuan, dan menggunakan jalan air ke Sabah bagi mengelak melalui pemeriksaan pihak Imigresen.

“Sehubungan itu, suspek kini ditahan dan disiasat kerana didapati melanggar Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana tidak mematuhi syarat pas atau permit selain keberadaannya di Sabah diragui.

“Jika sabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara tidak lebih 6 bulan atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Leave a reply