‘Warisan kerajaan pintu belakang sebenar’

Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang terbentuk pada hari ini adalah hasil daripada kerajaan pintu belakang,
0
82

Kerajaan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang terbentuk pada hari ini adalah hasil daripada kerajaan pintu belakang, kata Pengarah Komunikasi Umno Sabah, Ghazalie Ansing.

Katanya, Warisan telah “membeli” Adun BN untuk menyertai mereka.

“Pada pilihan raya umum (PRU) yang lepas, BN Sabah merupakan kerajaan yang sah yang telah membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah.

“Kerajaan Warisan merupakan kerajaan pintu belakang yang sebenarnya, dan tiada sesiapa dapat menafikannya,” kata Ghazalie dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pilihan raya untuk kerusi DUN pada Mei 2018, Warisan dan sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH) mendapat 29 kerusi, sementara Umno dan sekutunya dalam BN turut mendapat 29 kerusi.

Pada awalnya, kelihatan seperti parti Star yang akan menjadi penentu dengan dua kerusi dimilikinya, wakil rakyat dari parti komponen BN lompat parti memberikan Warisan majoriti.

Musa Aman dari Umno dan pesaingnya Shafie Apdal dari Warisan, kedua-duanya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri selepas itu, namun akhirnya, Shafie berjaya mengekalkan jawatannya.

“Kenyataan Ketua Wira Warisan, Mohd Azis Jamman bahawa Umno jangan mimpi bentuk kerajaan pintu belakang di Sabah, ibarat meludah ke langit,” tegasnya.

Ghazalie mengulas kenyataan Azis yang mendakwa Umno yang kalah dalam PRU lalu, masih menyimpan hajat besar untuk membentuk kerajaan pintu belakang di Sabah melalui usaha membeli wakil rakyat agar berpaling tadah.

Azis mendakwa bahawa Warisan sedar ada pemimpin Umno Sabah yang sedang cuba membeli wakil rakyat supaya parti itu boleh membentuk kerajaan negeri, bagi turut menyelaraskan peralihan kuasa dari PH ke PN di peringkat pusat.

Bidas Ghazalie, nafsu serakah parti Warisan yang terlalu inginkan kuasalah yang telah menyebabkan negeri Sabah pada hari ini menurutnya berada di dalam keadaan yang terumbang ambing dan tiada hala tuju.

“Itu hakikat pada hari ini, rakyat Sabah semakin dihimpit dengan kesengsaraan tanpa sebarang pembelaan. Kita dapat lihat dari aspek bantuan rakyat hinggalah kepada pembangunan negeri.

“Kononnya berkonsepkan Sabah for Sabahan (Sabah untuk rakyat Sabah), tetapi apa yang berlaku Sabah for ‘My Crony’ (Sabah untuk kroni),” dakwanya lagi.

Ghazali turut berkata, kerajaan negeri di bawah Shafie hanya tahu membuat pengumuman sahaja berkenaan bantuan dan pembangunan, tetapi tidak benar-benar merealisasikannya.

“Saya nasihatkan Aziz dan Ismail agar melihat cermin terlebih dahulu, sebelum membuat kenyataan. Jangan cuba kencing ke langit kerana akhirnya terkena muka sendiri.

“Cukup-cukuplah,” tambahnya lagi.

Comments are closed.